Thursday, September 01, 2005

Merdeka!

Kemerdekaan bagiku, bukanlah berkaitan dengan perjuangan sekumpulan cendiakiawan dan ahli politik. Kemerdekaan bagiku, bukanlah teriakan dan laungan dipagi hari. Kemerdekaan bagiku, hanyalah jiwa yang bebas daripada belenggu pemikiran sistem sokongan kecacatan. Tidaklah aku hendak mencerca orang kurang upaya, aku hanya ingin meluahkan perasaanku sebagai seorang yang berani meraungi kehidupan ini tanpa pertolongan.

Hakikatnya, generasikulah yang paling alpa dalam menjalani kehidupan. Setiap satu mengharapkan pertolongan, sokongan, bantuan. Mungkin pada suatu masa dahulu moyang kita terpaksa bekerja keras demi menjaga cita-cita dan harapan mereka. Betapa bezanya kehidupan dahulukala berbanding dengan falsafah tunggak negara kita.

Kibarkanlah bendera kemerdekaan kita. Berusahalah mencapai masa depan dan impian kita. Janganlah mengharapkan dorongan dan bantuan pihak luar. Disinilah berakhirnya tangan yang hanya sanggup menggapai angan-angan kosong. Disinilah bermulanya kekesatan dan keperitan usaha gigih, yang akhirnya hanyalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Bukankah ini makna sebenarnya kemerdekaan?

Ingatlah bahawa tidak seribu tahun, seribu generasi kita akan dianjakkan pertolongan pihak luar. Ingatlah bahawa semakin lama kita dilayani bagai orang kurang upaya, semakin lemahlah kita, dibuai kesenangan hidup, ditolak diatas kerusi roda, hidup dalam kecacatan usaha, ketandusan pemikiran. Bilakah lagi jika tidak sekarang kita bangkit menghadapi cabaran. Peluang keemasan tidak menunggu mereka yang ketinggalan. Hanyalah kehampaan dan kekesalan menanti mu diperjalanan hidup itu.

No comments: